Friday, May 9, 2014

Sokongan Keluarga dalam Proses Pemulihan Penagihan Dadah

Pengenalan
Lebih tiga dekad lalu iaitu sekitar tahun 1979, ketika masih di alam persekolahan, Edwin memulakan episod baharu hidupnya dengan mencuba marijuana secara suka-suka.
Tiada paksaan dan tiada sesiapa yang mengajarnya, cuma perasaan ingin tahu jiwa remajanya meronta-ronta untuk merasai kononnya ‘kenikmatan’ yang mampu diberikan oleh marijuana.
“Tidak dinafikan pada mulanya, ia memang menyeronokkan, namun selepas empat hingga lima tahun kemudian, kesakitan akibat pengambilan marijuana bermula.
“Saya mula membenci diri sendiri kerana terpaksa bergantung dengan dadah tersebut,” katanya yang kini berusia 50 tahun. Dia mengambil dadah tersebut bukan untuk keseronokan lagi, tetapi mahu menghilangkan kesakitan dan menjadi normal semula.
“Sekali terjebak memang sukar untuk pulih seperti sedia kala. Mujur ahli keluarga terutamanya ibu banyak membantu saya untuk keluar daripada kancah najis dadah.

“Tanpa sokongan mereka, mungkin saya tidak dapat hidup dengan tenang, aman dan bahagia seperti hari ini,” ujar bapa kepada empat orang anak yang benar-benar insaf dengan keterlanjurannya itu akibat terlalu mengikut kata hati.   
Persoalan yang sering timbul bila berjumpa bekas penagih, apakah mereka mahu berubah? Hampir semuanya akan berkata ya kerana itulah hasrat sebenar mereka. Jika ditanya lagi, bagaimana mereka mahu berubah? Pasti mereka akan katakan keluarga sebagai pendokong kepada perubahan hidup. Keluarga juga sebagai penguat semangat untuk meneruskan hidup. Justeru, besar sungguh impak keluarga dalam merubah kehidupan seseorang ke arah yang lebih positif.
Peranan keluarga amat penting kerana penagih memerlukan sokongan mereka untuk berhenti menagih. Rawatan jangka panjang seiring dengan sesi kaunseling dan sokongan keluarga amat penting bagi membantu golongan penagih ini.
Psikologi Penagih Dadah
Dzulkifli Abdul Razak (1995) menerangkan bahawa penagihan dadah pada umumnya merangkumi penagihan heroin, morfin, ganja, dan sebatian terbitan ubat-ubatan yang boleh membawa risiko maut.
Penagihan dadah juga boleh ditakrifkan sebagai pergantungan dengan dadah.
Penagihan dadah bermula apabila seseorang itu mula dengan bahan tersebut.  Keperluan dos terhadap dos yang tinggi dan wujud tanda-tanda “withdrawal” adalah petanda utama seseorang itu merupakan penagih dadah. Akhirnya individu akan terpaksa meningkatkan jumlah dadah yang lebih banyak dan tempoh penggunaan yang lebih lama.  Ini berubah menjadi satu kitaran kehidupan dan akhirnya pergantungan ini diaggap penyakit.  Semua ini  satu penyakit berterusan, perubahan kandungan kimia dalam otak merupakan punca berlakunya pergantungan terhadap dadah.
Pergantungan psikologi merupakan kesan yang hampir dirasai oleh semua penagih dadah tidak kiralah jenis opiat, stimulan, ganja,  halusinogen mahupun depresen. Ia merupakan tindakbalas otak manusia terhadap dadah. Penagih yang mengambil dadah akan mengalami rasa khayal dan seolah-olah mereka tidak berpijak di alam nyata. Perasaan ini akan berterusan selagi terdapat kesan dadah di dalam badan penagih. Namun kesan-kesan khayal ini akan hilang dan ini menyebabkan penagih perlu mengambil dadah secara berterusan. Selain itu, dadah seperti heroin dan morfin mempunyai kesan fizikal yang menyebabkan penagih akan mengalami ‘gian’ atau gejala tarikan seperti hidung berair, perut berasa sakit dan pedih yang amat sangat.
Penagihan dadah juga akan membuatkan seseorang hilang kawalan diri. Kebiasaannya, penagih dadah akan menghabiskan masa untuk melakukan aktiviti seperti mencari pengedar, membeli dan menggunakan dadah, begitu juga mendapatkan wang bagi membeli dadah. Apabila seseorang ketagih atau bergantung kepada dadah secara fizikal dan psikologi, akan wujud keinginan yang melampau untuk mengambil atau berterusan menggunakan dadah dalam apa cara sekali pun. Senario  ini akan menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan bekalan dadah bagi mengatasi gejala tarikan tersebut sehingga ada yang mencuri dan membunuh. Ini akan mendatangkan kesan yang buruk kepada diri mereka dan masyarakat sekeliling
Kebanyakan keluarga tahu anak mereka mengambil dadah, tetapi ramai yang tidak ambil langkah sewajarnya dengan memberikan bantuan awal. Apabila tahap ketagihan anak semakin kronik sehingga sanggup mengugut dan mencederakan untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah, barulah mereka hendak mendapatkan bantuan.
Justeru, pihak berwajib wajar melihat program kemahiran dan latihan kepada keluarga sebagai kelompok sokongan. Masyarakat mungkin tidak begitu peduli dengan apa yang berlaku tetapi peranan keluarga yang mengambil berat perlu disokong dan diberi pendedahan yang secukupnya. Walaupun penagih sukar untuk berubah, sekurang-kurangnya ahli keluarga yang sedar dapat membantu mengawal dan memberi sokongan kepada penagih untuk keluar daripada keadaan ini.
Sokongan Kepada Penagih yang dalam Pemulihan
Masalah penagihan dadah memang sukar ditangani. Penagih seolah-olah tidak insaf untuk pulang ke pangkal jalan. Hakikatnya, tidak semua penagih seperti itu, malah ada yang bersusah-payah untuk pulih tetapi tetap gagal.

Prof. Dr. Mahmood Nazar Mohamed, berkata bagi memastikan penagih tidak menagih semula, sokongan dan pembabitan keluarga dalam program pemulihan amat penting. Beliau dapati usaha memulihkan penagih lebih berjaya apabila keluarga memberi sokongan khususnya daripada ibu bapa dan adik-beradik.
Peranan keluarga amat penting bagi membantu memulihkan penagih ini kembali ke pangkuan masyarakat. Sokongan yang dimaksudkan mencakupi sokongan dan belaian emosi, kasih sayang dan ambil berat semua ahli keluarga.
      i.        Peranan Ibu bapa
                       ·            Ibu bapa seharusnya tidak jemu dan sentiasa memberi galakan kepada anak-anak mereka yang terlibat dalam penagihan agar terus berhenti menagih. Memang benar, tanggungjawab ini bukanlah suatu kerja  yang ringan untuk dipikul. Janganlah anggap ia sebagai beban tapi anggaplah ia satu amanah yang perlu dipikul selagi hayat dikandung badan. Ibu bapa mana yang tidak sayang anak, ibu bapa mana yang tidak mahukan anaknya menjadi orang yang berguna. Atas dasar hubungan darah yang tidak akan putus itulah, maka peranan ibu bapa amat memberi manfaat dan keberkatan kepada seorang anak untuk berjuang.
     ii.        Peranan Adik-beradik
                       ·            Penagih perlu terus diberi sokongan selepas rawatan. Begitu juga penagih yang dihantar ke pusat serenti atau institusi pemulihan lain tidak sewajarnya dipinggirkan daripada keluarga dan diserahkan kepada institusi untuk mengatasi masalah penagihan mereka. Berdasarkan kajian, hampir 80 peratus kembali menagih apabila ahli keluarga seperti adik-beradik tidak memberi sokongan, lebih-lebih lagi untuk terbabit sama dalam program pemulihan. Bagi memulihkan penagih, hubungan asas kekeluargaan mesti berunsur terapeutik iaitu dibajai kasih sayang, harga diri, bantuan serta sokongan fizikal dan mental.
    iii.        Peranan Saudara-mara
                       ·            Stigma masih menebal di kalangan masyarakat termasuk keluarga terhadap penagih turut menggagalkan usaha itu. Walaupun penagih diberi peluang untuk pulih, mereka tidak mendapat rawatan sewajarnya akibat stigma ini. Di sinilah penting peranan ahli keluarga supaya bekas penagih tidak terus tersisih.
Kumpulan Sokongan (NGO’S)
Kadang-kala bekas penagih yang telah insaf dan ingin kembali ke pangkuan keluarga hilang semangat dan keyakinan diri kerana dipandang hina dan diperlekehkan. Di mana mereka hendak berkongsi kasih sayang yang ada jika kesedaran ahli keluarga amat rendah tentang betapa bermaknanya sokongan keluarga ini?
Maka disinilah, peranan kumpulan sokongan boleh membantu para penagih. Kumpulan  sokongan ini terdiri daripada ahli-ahli yang mempunyai pengalaman dan permasalahan penagihan yang hampir sama. Selain  berkongsi pengalaman, mereka juga memberikan kefahaman dan sokongan serta saling membantu dalam mencari cara baru menghadapi masalah penagihan. Ia bagi memastikan dirinya dan ahli kumpulannya sentiasa kekal pulih.
Penutup
Keluarga juga perlu berpengetahuan untuk membantu penagih. Kurangnya ilmu mengenai cara membantu penagih dan kesedaran terhadap kepentingan membabitkan diri dalam program pemulihan secara tidak langsung, membantutkan usaha memulihkan penagih. Kepentingan kumpulan sokongan keluarga perlulah dibentuk secara meluas dan diperkukuhkan di seluruh negara. Di samping, menganjurkan lebih banyak kegiatan interaktif, program bersepadu dan berkesan mampu memenuhi matlamat penubuhannya.
Matlamat kumpulan sokongan keluarga ialah membina jaringan sokongan yang dapat membantu pengguna dadah dan keluarga secara berterusan, sama ada ketika atau selepas pemulihan
Rujukan
1.     DZULKIFLI ABDUL RAZAK. 1995. Dadah: senario sejagat yang membimbangkan. Jurnal Dewan Kosmik:12-13
2.     Prof Dr Mahmood Nazar Mohamed. 2004. ‘Kumpulan Sokongan Keluarga, (Family Support Group, FSG) dan Pemulihan Berterusan’. Dalam Seminar Kesan Penagihan Ke Atas Keluarga. Hotel Dynasty, Kuala Lumpur
6.     http://pengasih-kt.com/p/faq.html?spref=fb

Penulis : Engku Mardiah Bt Engku Kamaruddin
http://www.myhealth.gov.my/index.php/en/sokongan-keluarga